Berdasarkan kepada dasar-dasar kerajaan dalam Pendidikan, ulaskan keberkesanan kelas-kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dalam sistem persekolahan masa kini. Bincangkan juga peranan KSSR - KSSM serta dasar sukan negara dan kokurikulum KPM.

 

1.0 Pengenalan

Pada zaman teknologi yang kian berkembang pesat ini, kesedaran masyarakat dalam menjaga kesihatan juga semakin meningkat. Hal ini demikian kerana berita atau mesej mengenai masalah kesihatan boleh mempengaruhi seseorang individu, masyarakat mahupun sesebuah negara telah disebarkan secara luas melalui media massa atau media sosial seperti facebook, whatsapp, telegram dan sebagainya. Dengan itu, kesihatan badan semakin dititikberatkan dan ramai orang mula menjaga kesihatan masing-masing melalui bersenam, pengambilan makanan yang seimbang, pengambilan vitamin dan mineral serta sebagainya. Realitinya, kesihatan badan merupakan satu aspek yang amat penting dalam kehidupan kita di mana kesihatan dapat memastikan prestasi serta keadaan fizikal atau mental seseorang individu berada dalam keadaan sempurna untuk menjalankan aktiviti seharian (Norliah, 2017). Demi memupuk kesedaran ini dalam kalangan masyarakat sejak kecil, sistem pendidikan kita telah melakukan transformasi dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Mulai tahun 2017, KSSR telah disemak dan ditambahbaikan lagi untuk memastikan murid yang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) serta mempunyai kemahiran abad ke 21 dapat dilahirkan.

Banyak usaha telah dilakukan dalam menjalankan semakan KSSR terutamanya mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Hal ini demikian kerana kedua-dua subjek adalah saling berkaitan dan merupakan satu saluran yang baik untuk menyampaikan kesedaran mengenai kepentingan bersenam dan cara menjaga kesihatan dalam kalangan murid. Oleh itu, kedua-dua subjek ini telah digabungkan dan digubalkan dengan berasaskan FPK. FPK merupakan satu panduan untuk sistem pendidikan dan bermatlamat untuk melahirkan generasi yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial selaras dengan Dasar Sukan Negara. Maka pihak yang terlibat dalam penggubalan dokumen standard kurikulum dan pentaksiran telah mengutamakan tiga bidang asas dalam membina kemenjadian murid iaitu psikomotor, kognitif dan afektif.

Demi memastikan kurikulum baru ini dapat diketahui dan dikuasai oleh para guru sama ada guru di sekolah rendah atau sekolah menengah, banyak kursus latihan atau ceramah telah diadakan. Segala kursus latihan atau ceramah tersebut banyak melibatkan guru-guru yang mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah. Sepanjang kursus latihan atau ceramah tersebut, guru-guru akan terlibat dalam aktiviti hands on seperti cara mengajar, cara menulis rancangan pengajaran harian, cara melaksanakan aktiviti dalam buku teks dan sebagainya. Segala usaha yang dilakukan ini bertujuan menyediakan guru-guru tersebut mempunyai pengetahuan yang cukup untuk memberi kesan baik kepada generasi yang baru.

2.0 Keberkesanan kelas-kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dalam sistem persekolahan masa kini.

2.1 Kepentingan Kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan

Dalam sistem persekolahan masa kini, kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah menjadi satu kelas yang penting. Kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan tidak lagi seperti dahulu digunakan untuk mengajar mata pelajaran lain kerana kelas itu dapat memberi peluang kepada guru untuk mencari murid yang berbakat dalam suatu permainan atau sukan. Berdasarkan DSKP Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang baru ini, murid-murid akan didedahkan kepada dua bidang besar iaitu bidang kemahiran dan bidang kecergasan. Kedua-dua bidang ini mempunyai pelbagai aktiviti yang membolehkan seseorang murid menunjukkan kemampuan masing-masing.  Dengan itu, guru-guru dapat mengenalpasti murid yang berbakat dan melatih mereka untuk mewakili sekolah.

Guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekarang tidak dapat mengabaikan kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan kerana segala pertandingan yang diadakan adalah berasaskan kandungan DSKP Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Dalam suatu kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, guru-guru perlu memerhati tahap kebolehan murid dan memilih murid yang berpotensi untuk menyertai pertandingan aktiviti-aktiviti di luar sekolah seperti sukan, permainan atau aktiviti rekreasi. Semua aktiviti ini adalah seperti yang dirancang dalam DSKP Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah memberi peluang kepada murid untuk mencungkil bakat masing-masing. Justeru itu, potensi dan keyakinan diri dalam kalangan murid juga dapat ditingkatkan melalui penyertaan dalam pertandingan di luar sekolah. Oleh itu, kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah menjadi sangat penting di sistem persekolahan ini untuk guru-guru mencari murid yang berbakat dan mengembangkan potensi mereka.

2.2 Kesihatan Murid

Selain itu, kelas-kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah membekalkan murid-murid peluang untuk bersenam serta melakukan aktiviti sukan. Murid-murid yang berumur 7 hingga 12 tahun merupakan usia yang sedang menghadapi pertumbuhan badan. Mereka dapat mengembangkan motor kasar dan motor halus, membina kekuatan otot serta meningkatkan stamina melalui aktiviti-aktiviti kelas Pendidikan Jasmani. Bagi kelas Pendidikan Kesihatan pula, murid-murid akan belajar ilmu pengetahuan mengenai proses serta bahagian tubuh badan mereka dan dibimbing untuk menerima pertumbuhan tersebut dengan hati yang terbuka. Kurikulum yang baru ini telah mengembangkan kecergasan dan kognitif murid secara menyeluruh melalui kandungan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat menjaga kesihatan murid melalui kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Sebagai contoh, Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan yang dikenali sebagai SEGAK merupakan satu ujian yang perlu diadakan dalam Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bagi mengukur tahap kecergasan fizikal murid tahap 2 berdasarkan kesihatan (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2016). Semua anak murid yang menghadapi masalah obesiti atau tahap kecergasan yang rendah dalam ujian SEGAK ini akan diperhatikan dan dipanggil untuk menghadiri Program Intervensi SEGAK yang dijalankan oleh pihak sekolah. Dengan itu, kecergasan dan kesihatan anak murid dapat ditambahbaikan melalui kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.

 

2.3 Pembentukan Kemenjadian Murid

Kelas-kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah sekarang tidak lagi seperti dahulu hanya mementingkan ilmu pengetahuan atau satu kemahiran dalam suatu PdPc. Kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan masa kini telah menghubungjalinkan kemahiran lain dalam aktiviti yang dijalankan. Kemahiran-kemahiran abad ke-21 serta elemen-elemen yang merentasi kurikulum telah diterapkan dalam kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Penerapan perlbagai unsur dalam kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan bermatlamat menghasilkan murid yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai serta sikap yang positif dalam mengekalkan kecergasan fizikal dan kesihatan badan.

Kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekarang banyak mempunyai aktiviti dan permainan yang menggalakkan murid mengamalkan gaya hidup aktif ke arah kesejahteraan hidup. Aktiviti kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan seperti senaman, sukan, permainan, menari, aktiviti akuatik dan pendidikan luar merupakan aktiviti yang dapat membantu murid-murid untuk mengawal diri dari menghabiskan masa yang panjang dalam telefon pintar mereka. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja dapat melatih otot dan kecergasan minda, malah aktiviti-aktiviti ini turut dapat membina minat murid-murid dalam bersenam dan membantu mereka mewujudkan gaya hidup yang sihat di luar waktu persekolahan.

2.4 Aktiviti Kelas Berpusatkan Murid

Kelas-kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah turut mengubahkan aktiviti PdPc dari berpusatkan guru kepada berpusatkan murid. Murid-murid tidak lagi seperti yang terdahulu, mereka lebih aktif dan bertenaga serta bersemangat untuk mencuba sesuatu benda yang baru. Aktiviti-aktiviti ini telah memberi peluang kepada para murid untuk membina semangat kepimpinan serta bekerjasama dengan ahli kumpulannya. Aktiviti-aktiviti tersebut dapat memberi pengajaran atau kesedaran secara tidak formal kepada murid-murid bahawa menghadapi kegagalan dengan senyuman dan berusaha mencari penyelesaian untuk meningkatkan kemahiran diri sendiri. Melalui kurikulum yang baru ini, murid-murid berpeluang untuk mencuba segala aktiviti serta mencabar diri sendiri. Kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah menanam sikap berani mencuba dan menghadapi kegagalan dengan senyuman dalam kalangan murid melalui aktiviti. Setiap kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan abad ke-21, guru berperanan sebagai fasilitator di mana guru perlu membimbing anak murid dalam mengetahui pelbagai ilmu pengetahuan mengenai sukan dan permainan serta menerapkan nilai-nilai murni dalam aktiviti. Pendek kata, kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan telah banyak memberi peluang kepada murid terlibat dalam aktiviti yang dirancang serta membina perwatakan murid-murid yang baik sambil mengembangkan otot.

2.5 Pemupukan Daya Pemikiran Murid

Tambahan pula, kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan dapat mencabar daya pemikiran murid melalui pertandingan kecil dalam suatu permainan. Dalam pertandingan kecil tersebut murid perlu mengaplikasi segala kemahiran yang dipelajari serta memikir cara penyelesaian untuk menjaring goal. Dalam suatu kumpulan, murid-murid perlu berbincang antara satu sama lain untuk mendapatkan strategi yang terbaik untuk menjaring goal sebelum bertindak dalam suatu pertandingan. Keadaan ini telah menunjukkan bahawa latihan pemikiran secara kreatif telah dilakukan semasa murid-murid menyelesaikan masalah menjaring goal dalam pertandingan. Secara tidak langsung, nilai-nilai murni seperti bekerjasama, saling menghormati, berani dan sebagainya telah dipupuk dalam kalangan murid melalui pertandingan kecil. Tuntasnya, kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekarang bukan sahaja melahirkan murid-murid yang mempunyai perkembangan psikomotor yang baik, sikap positif dan berilmu pengetahuan, malah kelas ini turut dapat mengembangkan pemikiran kreatif dalam kalangan murid.

3.0 Peranan KSSR - KSSM serta Dasar Sukan Negara dan kokurikulum KPM meningkatkan keberkesanan kelas jasmani dan kesihatan di sekolah

Sistem Pendidikan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sekolah. Semakan terhadap KSSR dan KSSM yang mulai pada tahun 2017 merupakan satu pembaharuan dalam sistem persekolahan di mana kebanyakan guru berada dalam keadaan kelam-kabut bagi menerima dan melaksanakan standard kandungan tersebut. Tambahan pula, guru-guru yang baru habis program IPG turut akan menghadapi cabaran tertentu dalam melaksanakan kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan berdasarkan dokumen standard kurikulum dan pentaksiran yang baru. Walaupun mereka mempunyai ilmu pengetahuan mengenai dokumen standard pelajaran ini, namun mereka tidak mempunyai pengalaman dalam mengajar. Dengan itu, banyak cabaran serta masalah akan timbul dalam sesuatu kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan sekiranya guru-guru tidak bersedia untuk menghadapi pembaharuan.

Demi memastikan semua guru bersedia dalam menghadapi KSSR dan KSSM semakan ini, pihak yang bertanggungjawab telah melantikan sebahagian guru cemerlang sebagai jurulatih untuk memberi kursus latihan kepada guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Segala maklumat mengenai KSSR dan KSSM semakan ini telah disampaikan kepada para guru dan mendedahkan guru dengan cara merancang dan melaksanakan kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang berunsur abad ke-21. Dalam semakan KSSR dan KSSM ini, guru tidak lagi seperti dahulu. Guru akan melaksanakan proses pengajaran dan pemudahcara disertai pentaksiran terhadap tahap pencapaian murid dalam suatu kelas berdasarkan standard prestasi yang telah digubalkan dalam DSKP. Untuk memastikan cara pentaksiran guru adalah selaras, banyak aktiviti serta kursus latihan telah diadakan dari semasa ke semasa. Guru yang mengikuti kursus latihan tersebut dikehendaki melaksanakan Latihan dalam Perkhidmatan untuk menyampaikan segala maklumat kursus tersebut kepada guru-guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan yang lain di sekolah. Melalui program Professional Learning Community (PLC) pula, guru-guru akan bersama-sama merancang satu PdPc bagi standard kandungan tertentu dan guru-guru hanya mengubahsuaikan PdPc yang dirancang tersebut agar sesuai dengan tahap murid-murid masing-masing. Tuntasnya, KSSR dan KSSM semakan ini bukan sahaja telah memupuk kerjasama antara guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan melalui PLC atau LDP, malah sistem persekolahan turut ditambahbaikan.

Selain itu, dasar sukan negara juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan kelas Pendidikan Jasmani dan Sukan di sekolah. Dasar sukan negara telah banyak menggalakkan aktiviti sukan berjenis pertandingan diadakan seperti program Sukan Untuk Semua dan Sukan Berprestasi Tinggi. Segala aktiviti sukan yang diadakan ini telah memberi peluang kepada anak murid yang berbakat untuk terlibat dalam pertandingan tersebut. Untuk memastikan program-program sukan dapat diadakan, kerajaan telah menyediakan peruntukan kewangan dan kemudahan infrastruktur. Secara tidak langsung program-program sukan tersebut telah meningkatkan keberkesanan kelas pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sistem persekolahan. Keadaan ini wujud disebabkan pihak sekolah akan mementingkan kelas Jasmani untuk mengenalpasti bakat-bakat muda yang berpotensi. Pihak sekolah juga akan memastikan guru menjalankan tanggungjawab mereka dengan melaksanakan PdPc Pendidikan Jasmani dan Kesihatan kepada murid-murid di sekolah tanpa digunakan untuk mengajar mata pelajaran lain.

Di samping itu, kerajaan turut berusaha dalam membina kesedaran mengenai kepentingan sukan dalam kalangan murid dan anggota sekolah. Selain melalui ceramah, antara aktiviti yang paling disokong pelbagai pihak adalah program Hari Sukan Negara yang diadakan pada tahun 2018. Pada masa itu, setiap sekolah bekerjasama dengan pihak pengajur meriahkan Hari Sukan Negara dengan menyediakan aktiviti sukan di sekolah untuk murid-murid. Murid-murid turut menjalankan aktiviti senamrobik dengan berdasarkan siaran langsung dari stadium Bukit Jalil pada pagi hari itu. Aktiviti ini telah membekalkan peluang kepada anak murid terlibat dalam aktiviti sukan serta bermain sambil belajar. Pada hari itu, banyak aktiviti menguji tahap kecergasan turut diadakan agar murid-murid yang berpotensi dapat ditemui.

Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan melalui dasar sukan negara turut memberi peluang kepada murid-murid untuk terlibat dalam aktiviti sukan dan permainan sepanjang tahun di sekolah. Tujuan dasar ini diperkenalkan adalah untuk membekalkan peluang yang sama kepada semua murid terlibat dalam sukan atau permainan. Kewujudan dasar ini telah memanfaatkan semua murid sama ada aktif atau tidak aktif melalui penglibatan dalam satu sukan atau permainan. Murid-murid dapat belajar cara berkomunikasi dengan rakan serta kemahiran-kemahiran sesuatu sukan atau permainan yang digemari. Dasar ini secara tidak langsung telah membudayakan sukan dalam kalangan murid di mana selaras dengan strategi perlaksanaan Dasar Sukan Negara. Pembudayakan sukan dalam kalangan masyarakat sejak kecil melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan ini akan meningkatkan minat murid dalam sukan serta membina satu generasi yang mementingkan gaya hidup yang sihat serta cergas, mempunyai daya saing tinggi dan bersatu padu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dasar ini bukan sahaja membangunkan sukan sekolah malah dasar ini juga memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk maju ke tahap yang lebih tinggi.

Dasar Perlaksanaan Kokurikulum KPM merupakan dasar lanjutan Dasar 1 Murid 1 Sukan di mana murid-murid wajib menyertai satu sukan dan permainan, satu persatuan dan kelab serta satu pasukan pakaian seragam. Dengan itu, kegiatan kokurikulum di sekolah telah memainkan peranan penting dalam perkembangan potensi individu dan pembentukan jati diri dalam kalangan murid. Berdasarkan dasar yang baru ini, segala kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah hendaklah dirancang berdasarkan kandungan PdPc kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan. Tindakan ini boleh memberi murid-murid peluang untuk menambahbaikan, mengukuhkan dan mengamalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni yang dipelajari di dalam bilik darjah. Penglibatan dalam kokurikulum dapat membantu seseorang murid memperoleh pelbagai kemahiran yang terkandung dalam aktiviti kokurikulum seperti pertolongan cemas, jenis-jenis ikatan, cara mendirikan khemah dan sebagainya. Aktiviti kawad kaki pula membina disiplin dalam diri seseorang murid. Setiap kegiatan kokurikulum di sekolah hendaklah dirancang dengan teliti dan mempunyai matlamat, objektif, kaedah pelaksanaan dan kurikulum kegiatan serta skema penilaian yang sesuai. Setiap kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan hendaklah mengandungi elemen-elemen pengetahuan, pengalaman dan kemahiran baru serta nilai-nilai murni yang membantu membangunkan intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial murid secara seimbang seperti yang dinyatakan dalam FPK.

 

4.0 Kesimpulan

            Secara kesimpulannya, kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan berasaskan KSSR dan KSSM semakan ini telah mendatangkan banyak kesan yang baik terutamanya dalam pembentukan kemenjadian murid. Segalanya usaha-usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam meningkatkan keberkesanan kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di sistem persekolahan ini bertujuan melahirkan generasi yang berkemahiran dalam sukan, bernilai murni, bergaya hidup sihat, berdaya saing tinggi, berfikir secara kreatif dan berkembang secara menyeluruh dalam intelek, rohani, emosi, jasmani dan sosial. Generasi-generasi ini diharapkan dapat membimbing Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan mempunyai daya saing yang setanding dengan negara-negara maju.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

5.0 Rujukan

Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. (2016). Panduan Standard Kecergasan Fizikal Kebangsaan Untuk Murid Sekolah Malaysia (SEGAK). Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jemaah Nazir Kementerian Pendidikan Malaysia. (2019). Buku Panduan Pengurusan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah. Retrieved from https://www.moe.gov.my/muat-turun/penerbitan-dan-jurnal/buku-panduan/2939-buku-panduan-mp-pjpk/file

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2018). Kurikulum Standard Sekolah Rendah Pendidikan JJasmani dan Pendidikan Kesihatan Dokumen Standard Kurikulum Dan Pentaksiran Tahun Empat. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum.

Kementerian Belia dan Sukan. (2009). Dasar Sukan Negara 2009. Putrajaya: Kementerian Belia Dan Sukan .

Norliah binti Lasemang. (2017, Mac). Kesihatan Fizikal Dan Mental. Retrieved from ResearchGate: https://www.researchgate.net/publication/315456905_KESIHATAN_FIZIKAL_DAN_MENTAL

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment

【动漫介绍】一次推荐25部!开局就开挂的动漫

  【动漫介绍】一次推荐25部!开局就开挂的动漫 这支影片主要推荐一些一路虐人无数,看了都爽歪歪的动漫。 每一部动漫里的主角都是有不同的能力并一开局就开满挂,一路畅通无阻。 一些动漫中主角是由尽力过努力而提升自己的能力。那么龙傲天系列的主角呢, 他们则是一路基本属性以及技能都是...